Promosi
Menurut Philip Kotler (2009) dalam Kotler on Marketing Edisi Bahasa Melayu, menyatakan bahawa promosi adalah pelbagai cara untuk memberitahu, memujuk, dan mengingatkan pengguna secara langsung mahupun tidak langsung tentang suatu produk atau brand yang dijual. Setiap pemasar akan berusaha untuk mengetengahkan imej produk dan menyatakan kelebihan yang ada pada produk melalui promosi. Malah, promosi merupakan salah satu cara untuk melariskan jualan produk melalui penjualan terus produk kepada pengguna. Syarikat Adabi menggunakan campuran promosi seperti pengiklanan, promosi jualan, publisiti, perhubungan awam dan jualan bersemuka.
Campuran promosi syarikat ACISB
Pengiklanan merupakan sebarang bentuk komunikasi tidak langsung yang dibayar oleh pihak pengeluar atau penaja Syarikat Adabi untuk memperkenalkan, mempromosikan dan meningkatkan jualan produk kepada pengguna melalui media massa seperti surat khabar, majalah, radio, televisyen dan internet. Contoh bagi Syarikat Adabi, mereka menggunakan televisyen untuk mempromosikan produk mereka iaitu pada setiap hari di iklan siaran TV3. Seterusnya menggunakan internet dengan menggunakan laman sesawang rasmi Adabi, akaun instagram Adabi, akaun twitter Adabi dan akaun facebook Adabi bertujuan untuk mempromosikan barangan produk Adabi dan mengemas kini aktiviti kemasyarakatan yang sering dilakukan oleh pihak Syarikat Adabi. Melalui pengiklanan televisyen juga, Syarikat Adabi mempunyai rancangan masakan sendiri serta menaja rancangan tersebut iaitu Adabi-Spice-Route dan rancangan tajaannya iaitu Jaguh Kampung. Pada Mac 2016, Syarikat Adabi telah melancarkan pusat beli-belah elektronik atau e-mall yang bertujuan memudahkan orang ramai mendapatkan lebih 100 produk keluaran syarikat berkenaan. Terbukti, permintaan pengguna produk Adabi semakin meningkat dan selari perkembangan teknologi sehingga hari ini.
Promosi jualan merujuk kepada sebarang aktiviti yang menawarkan insentif atau kelonggaran jangka pendek yang diberikan kepada pengguna akhir untuk mendorong mereka membeli produk. Antara jenis promosi jualan yang dapat menarik pengguna untuk membuat keputusan pembelian seperti sampel, kupon, premium, rebat, tawaran istimewa, peraduan dan potongan harga. Syarikat Adabi selalunya membuat promosi jualan melalui pusat beli-belah elektronik atau e-mall dan melalui aktiviti di luar kawasan seperti baru-baru ini Syarikat Adabi menjual produknya di Pesta Air Chenor 2017. Di Hypermarket Giant pernah mengadakan promosi untuk Cucur Tepung Adabi dan Kicap Manis atau Masin yang bermula pada 4 Mei hingga 17 Mei yang lalu. Syarikat Adabi juga mempromosi produk mereka melalui peraduan. Contohnya Pertandingan Creative Caption yang diadakan pada Januari dan Februari yang lalu. Pemenang akan memenangi hamper Adabi bernilai RM150, RM100 dan RM50.
Seterusnya publisiti melibatkan penghebahan mengenai sesuatu produk baharu dalam pasaran melalui siaran berita di televisyen dan radio. Contoh publisiti ialah siaran berita, artikel, wawancara dan sidang akhbar. Contohnya Syarikat Adabi memaklumkan kepada pengguna yang keliru tentang Sos Tiram Adabi dan Sos Makanan Laut Adabi yang kini boleh didapati dan diperagakan di rak runcit di pasaran. Oleh yang demikian, melalui akhbar (Bisnes-Sinar Harian 10Mac 2017) dan laman instagram Adabi (adabi_consumer), Syarikat Adabi Consumer Industries Sdn Bhd (ACISB) dengan ini mengesahkan bahawa Sos Makanan Laut Adabi adalah satu-satunya produk keluaran Bumiputera, buatan Malaysia, sos penyediaan makanan halal berasaskan makanan laut yang dikeluarkan dan dikilangkan oleh  ACISB. Syarikat Adabi tidak pernah mengeluarkan apa-apa sos penyediaan makanan berasaskan makanan laut selain daripada Sos Makanan Laut Adabi. Produk keluaran Syarikat Adabi juga iaitu Power Cat Malaysia telah berjaya memenangi Anugerah World Branding Award, Kategori Edisi Binatang. Hal ini dikongsi oleh Syarikat Adabi menerusi laman facebook Adabi dan keratan akhbar dari laman tersebut.
Perhubungan awam ialah aktiviti yang dibentuk bagi mewujudkan serta mengekalkan hubungan yang baik antara perniagaan serta mengekalkan hubungan yang baik antara perniagaan dengan masyarakat umum termasuklah pihak-pihak berkepentingan seperti pembekal dan kerajaan. Contohnya baru-baru ini, pada 16 Jun 2017, Takaful Ikhlas Berhad (Takaful IKHLAS) dengan kerjasama Adabi mengadakan gotong-royong memasak dan mengagihkan bubur lambuk kepada penduduk sekitar Masjid Kampung Gombak, Kluang dan Masjid Jamek Al-Hikmah, Kampung Setia di Rawang, Selangor. Selain itu, Syarikat Adabi mengadakan Program Memasak Bubur Lambuk bersama Mydin pada 17 Jun 2017. Program-program tersebut telah dilaksanakan sejak lima tahun lalu untuk mendekati masyarakat setempat dan memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Campuran promosi terakhir digunakan oleh Syarikat Adabi ialah jualan bersemuka. Jualan bersemuka merupakan satu kaedah penjualan yang amat berkesan kerana pengguna boleh menyoal mengenai produk yang dijual di samping membentuk keyakinan untuk membeli. Melalui Pesta Air Chenor 2017 yang berlangsung selama 3 hari pada 28 Julai hingga 30 Julai 2017, Syarikat Adabi telah membuat jualan bersemuka dengan pengguna di sekitar Pahang. Dalam acara tersebut, Syarikat Adabi memberi pengguna merasai sendiri produk Adabi sepert sos pasta spageti, kopi Adabi dan makanan ringan Flamitoz sebelum membelinya. Ramai pengguna tidak melepaskan peluang untuk merasai dan membelinya dengan harga promosi yang hanya ada pada hari tersebut sahaja.

Comments

  1. rempah adabi ni sedap cuma cilinya kurang b ila masak gulai nampak tak menarik kurang cili harap ada perubahan supaya ramai beralih kpd adabi semula.nampak merah tu menarik.ini pandangan saya

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

SYARIKAT ACISB